Kebawah DYMM kurniakan Anugerah Belia Kebangsaan 2015

Kebawah DYMM kurniakan Anugerah Belia Kebangsaan 2015

BB HARI BELIA 5

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bergambar kenangan bersama para penerima Anugerah Belia Kebangsaan 2015. Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

 

Oleh:  Haniza Abdul Latif / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor, Haji Masmaleh Haji Mohd. Ali, Hernie Suliana Haji Othman, Mohd. Mahdi Haji Marsidi Tuesday, 01 September 2015

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. – Acara kemuncak Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun ini ialah Pengurniaan Anugerah Belia Kebangsaan 2015 kepada tiga orang tokoh belia dan sebuah persatuan belia, iaitu Anugerah Persatuan Belia, Anugerah Pemimpin Belia Berjasa, Anugerah Sukarelawan Belia dan Anugerah Belia Cemerlang.

Berangkat mengurniakan anugerah-anugerah berkenaan ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula berkenan mengurniakan Anugerah Persatuan Belia kepada Persatuan Society of Community Outreach and Training (SCOT) yang menerima plak, sijil penghargaan dan wang tunai BND5,000.

Persatuan ini telah ditubuhkan pada bulan November 2013 dengan keahlian terdiri daripada golongan belia sendiri. Walaupun baru sahaja ditubuhkan, persatuan ini sangat aktif di dalam kerja-kerja menangani kemiskinan melalui pelbagai pendekatan yang sangat kreatif dan menarik para belia terutama dalam bidang pendidikan, pemeliharaan alam sekitar, mengumpul dana (fund raising) dan pelbagai aktiviti ke arah membantu masyarakat yang memerlukan.

Persatuan ini juga aktif menjalankan aktiviti-aktiviti bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan sama ada dalam dan juga luar negara.

Kekuatan persatuan ini adalah menerusi usaha dan inisiatif yang dilaksanakan dan ia digerakkan sendiri oleh para belia dengan visi dan misi yang jelas selain memiliki rakan kongsi dari pelbagai agensi sama ada kerajaan dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGOs).

Pemangku Pengerusi SCOT, Awang Mohammad Khairul Azmi bin Haji Mohd. Salleh ketika ditemu bual menjelaskan perancangan masa depan persatuan tersebut antaranya ialah melaksanakan beberapa projek di dalam dan juga di luar negara.

PB HARI BELIA 2

PEMANGKU Pengerusi SCOT, Awang Mohammad Khairul Azmi bin Haji Mohd Salleh.

Kebawah DYMM seterusnya mengurniakan Anugerah Pemimpin Belia Berjasa kepada Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yusof atas sumbangan jasanya yang bermakna dalam kemajuan, pergerakan dan pembangunan belia.

Penerima anugerah ini merupakan seorang yang bergiat aktif dalam pergerakan belia dan telah menjawat beberapa jawatan tertinggi dalam persatuan-persatuan yang diceburi termasuklah sebagai Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung dalam Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Pertiwi Brunei Darussalam dan Majlis Wanita Brunei Darussalam.

PB HARI BELIA 3

PENERIMA Anugerah Pemimpin Belia Berjasa, Datin Hajah Siti Hajar binti Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd. Yusof.

Datin Hajah Siti Hajar telah mula melibatkan diri dalam Persatuan Bulan Sabit Merah sejak tahun 1960, iaitu ketika berumur 11 tahun dan dilantik dalam beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan sama ada dalam dan luar negara.

Penglibatan beliau dalam pergerakan belia ini banyak tertumpu kepada bidang bulan sabit merah yang mana beliau turut terlibat dalam penggubalan Perlembagaan Persatuan Bulan Sabit Merah sebagai persediaan dan seterusnya proses untuk keahlian persatuan dalam International Federation of Red Cross and Red Cresent Societies (IFRC) di Geneva, Switzerland pada tahun 1977.

Melalui penglibatan aktif beliau dalam bidang sukarelawan ini, beliau mampu memberikan sumbangan dan dijadikan sebagai sumber inspirasi kepada belia di negara ini untuk sama-sama menyumbangkan khidmat kepada masyarakat dan negara.

Ketika ditemui, Datin Hajah Siti Hajar berkata, anugerah yang diterima ini dianggap sebagai satu amanah yang diharap ia akan dapat dipegang, iaitu dengan menerus dan mempertingkatkan lagi penglibatan beliau dalam hal-hal dan kerja-kerja sukarela melalui NGOs.

Sementara itu, Anugerah Sukarelawan Belia pula diberikan kepada Dayang Nurliyana Fatin binti Arifin yang merupakan seorang belia yang bergiat aktif dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti dan program-program sukarelawan sama ada dalam dan juga luar negara.

Dayang Nurliyana Fatin juga adalah cerminan belia yang berjiwa besar dan personaliti beliau ini boleh dijadikan sebagai ikon atau idola kepada para generasi belia dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat dalam dan luar negara.

PB HARI BELIA 4

PENERIMA Anugerah Sukarelawan Belia, Dayang Nurliyana binti Arifin.

Melalui kekentalan jiwa dan kesungguhan, beliau telah berjaya membawa Projek ASEAN Young Professional Volunteer Corp (AYPVC) untuk dilaksanakan di luar negara sebagai Project Manager.

Beliau juga adalah merupakan salah seorang belia yang turut terlibat dalam menubuhkan sebuah sekolah di Kemboja dalam usaha membantu warga yang memerlukan di negara tersebut.

Mempunyai latar belakang keusahawanan, beliau juga merupakan salah seorang ahli dalam Young Entrepreneurs Association of Brunei (YEAB) dan mempunyai rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak dalam dan luar negara serta banyak memegang pelbagai jawatan-jawatan penting dalam pelbagai persatuan belia termasuk sebagai Presiden pada tahun 2015, Founding Member, Commonwealth-Asia Alliance of Young Entrepreneurs (CAAYE) yang ditubuhkan pada bulan November 2011 di New Delhi, India.

Beliau juga banyak terlibat dalam aktiviti dalam negara ke arah memberikan kesedaran kepada para belia mengenai peranan mereka dalam pembangunan negara.

Dayang Nurliyana Fatin ketika ditemui menyarankan, para belia agar dapat memainkan peranan mereka sebagai belia untuk pembangunan dan kemajuan ekonomi negara, iaitu dengan menceburi dalam bidang-bidang seperti keusahawanan.

Sementara itu, penerima Anugerah Belia Cemerlang, Awang Goh Kiat Chun atau lebih dikenali sebagai Wu Chun dalam temu bual menjelaskan bahawa, penganugerahan ini merupakan satu penghormatan baginya kerana ia menjadi pendorong untuk memperbanyakkan lagi usaha-usaha untuk melaksanakan kerja-kerja dan acara-cara amal.

Awang Goh Kiat Chun merupakan seorang usahawan muda yang berjaya di negara ini dan banyak menyumbangkan usaha dalam mengharumkan nama negara khususnya dalam bidang keusahawanan sama ada dalam mahupun di luar negara.

Semangat dan komitmen beliau dalam usaha membawa Negara Brunei Darussalam ke luar negara dapat dijadikan sebagai motivasi kepada belia-belia di negara ini.

PB HARI BELIA 5

PENERIMA Anugerah Belia Cemerlang, diterima oleh Awang Goh Kiat Chun @ Wu Chun.

Walaupun pada awal penglibatan dan kejayaan beliau bermula dari luar negara di bidang muzik dan perfileman, tetapi beliau telah mengambil inisiatif untuk memulakan perniagaan di negara ini khususnya dalam mempromosi dan memberikan kesedaran terhadap kesihatan dan juga mengadakan pelbagai inisiatif menganjurkan program-program untuk membawa masyarakat ke arah cara hidup sihat.

Selain itu, beliau juga telah berjaya dalam memberikan pekerjaan kepada belia-belia tempatan dan sekali gus mampu menjana ekonomi negara, di samping itu, dengan menganjurkan pelbagai aktiviti dan program ke arah cara hidup sihat ini juga telah mampu menarik pelancong ke negara ini.

Penerima Anugerah Pemimpin Belia Berjasa, Anugerah Khidmat Belia dan Anugerah Belia Cemerlang menerima plak, kain tenunan, sijil penghargaan dan wang tunai BND3,000.

 

Pelita Brunei


Source: Pelita Brunei

Author: Haniza Abdul Latif

Published Date: Tuesday, September 1st, 2015

Leave a Reply

Close Menu