BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 4 Oktober. – Awang Muhammad Fadzil Afifi bin Haji Hussin terpilih sebagai penerima Anugerah Kehormat The Society for Community Outreach & Training (SCOT) pada tahun ini.
Ini merupakan tahun pertama SCOT menyampaikan Anugerah Kehormat tersebut kepada seorang ahlinya yang telah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek bagi beberapa kriteria.
Ciri-ciri pencapaian itu adalah sangat wajar untuk diteladani serta bermanfaat bukan sahaja kepada ahli dan persatuan malah juga bagi kemajuan negara ke arah melahirkan lebih banyak pemimpin belia.
TIMBALAN Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan SCOT 2014/2015 dan Penyampaian Anugerah Kehormat SCOT 2014 di Dewan Mesyuarat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
(Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor)
Penyampaian Anugerah tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Awang Hajah Adina binti Othman pada Mesyuarat Agung Tahunan SCOT 2014/2015 dan Penyampaian Anugerah Kehormat SCOT 2014 di Dewan Mesyuarat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapannya menjelaskan, SCOT akan terus dikendalikan 100 peratus oleh para belia dan akan menarik lebih ramai lagi penyertaan dari golongan belia.
Yang Mulia Datin Paduka berkata, tidak ada negara yang boleh mencapai matlamat murni tanpa penyertaan aktif masyarakat dan tidak dapat dinafikan bahawa belia yang mempunyai dinamisme, tenaga dan pendedahan kepada idea-idea baru berperanan sebagai rakan kongsi dalam proses pembangunan negara.
TIMBALAN Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman semasa hadir selaku tetamu kehormat pada Mesyuarat Agung Tahunan SCOT 2014/2015 dan Penyampaian Anugerah Kehormat SCOT 2014 di Dewan Mesyuarat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. (Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor)
“Saya amat berbangga dengan pencapaian SCOT setakat ini. Saya telah mengikuti perkembangan SCOT sejak ianya ditubuhkan pada tahun 2011, di bawah pimpinan Universiti Brunei Darussalam dan kini SCOT telah berdaftar sebagai persatuan penuh di bawah ROS,” ujarnya.
Yang Mulia Datin Paduka juga menyifatkan, kegiatan-kegiatan Program Green Xchange, Projek Pendidikan, Projek Pertanian, Projek H20, ‘Poverty Art’ termasuk projek pembaikan rumah bagi golongan susah yang diungkayahkan oleh SCOT bukanlah mudah untuk dilaksanakan.
Source: Pelita Brunei
Author: Rohani Haji Abdul Hamid
Published Date: Saturday, October 4th, 2014