You are currently viewing SCOT lancar projek bersih dasar laut

SCOT lancar projek bersih dasar laut

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Sebuah persatuan yang bertindak sebagai pemangkin kepada inisiatif merapatkan jurang kemiskinan, The Society For Community Outreach And Training (SCOT), hari ini melancarkan projek pembersihan dasar laut kawasan selaman skuba yang dinamakan Green Xchange H2O.

Majlis pelancaran projek amal yang diadakan di Kompleks Sukan Air Serasa itu dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah selaku tetamu kehormat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Awang Haji Abdul Malik bin Haji Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Brunei, Todd Wilcox dan Pengurus Besar Poni Divers, Wong Thye Sing.

Pengurus Projek Green Xchange H2O, Awang Moyhamad Nur Isman bin Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya berkata projek itu bertujuan untuk memperkenalkan dan mewujudkan kesedaran umum mengenai usaha amal pembersihan dasar laut di kawasan tumpuan penggemar selaman skuba di perairan negara ini.

 

PAGE01_20140512_B

Yang Berhormat Pehin bersama tetamu lain mencuba sendiri teknik yang digunakan dalam pemuliharaan batu karang.

Beliau menjelaskan projek yang memakan masa sekitar tujuh bulan itu telah pun bermula lebih awal pada April lalu dan dijangka berakhir pada November 2014.

Seramai 20 penyelam, termasuk lima peserta mewakili HSBC Brunei sebagai penaja utama, sepuluh penyelam persendirian dan lima lagi dari SCOT menyertai projek pembersihan dan pemuliharaan terumbu karang kawasan selaman skuba yang pertama kali diperkenalkan di negara ini itu.

Mohamad Nur Isman seterusnya menjelaskan, pengendalian projek berkenaan terbahagi kepada tiga fasa membabitkan aktiviti berlainan, iaitu Kursus Persijilan Laut Luas PADI, Kursus Pembiakan Terumbu Ocean Quest dan latihan selaman di laut.

Menurutnya, pada fasa pertama peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi menjamin tahap keselamatan dan mutu latihan yang dijalankan, dan penyelam yang berjaya menamatkan fasa pertama akan maju ke fasa seterusnya.

Di fasa Kursus Pembiakan Terumbu Ocean Quest , yang sedang berjalan pada masa ini, para peserta diperlukan menghadiri sesi taklimat ringkas dan mempelajari teknik-teknik pembiakan terumbu karang.

“Kursus ini termasuk melakukan beberapa selaman untuk mengumpul batu karang yang patah dan sampel batuan di persekitarannya, memunggahnya naik ke darat untuk kegunaan proses pembiakan,” katanya sambil menambah, sesudah proses pemuliharaan dilakukan batu karang tersebut akan dikembalikan ke laut dan dibiakkan di kawasan terlindung.

Beliau berkata setelah menamatkan kursus itu, penyelam perlu melakukan sebanyak 26 selaman lagi yang belum dilakukan dalam kedua-dua fasa sebelumnya.

Sejak mesyuarat pertama diadakan pada 5 April lalu, setiap fasa telah dikendalikan dengan jaya seperti yang telah dirancang, dan semua 20 penyelam yang menamatkan kursus fasa pertama baru-baru ini telah pun menerima Sijil Selaman Laut Luas PADI.

 

 


Source: Media Permata
Author: Abdul Rahim Haji Ismail
Published Date: Monday, May 12, 2014

Leave a Reply