BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Projek Green Xchange keempat anjuran Society for Community Outreach and Training (SCOT) Universiti Brunei Darussalam dalam membantu golongan berpendapatan rendah mencari rezeki sampingan, mendapat sambutan dari penduduk Mukim Tamoi hari ini.
Projek Green Xchange itu dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair Haji Abdullah.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengurus Projek Dayang Nur Barizah Mustapa menjelaskan, projek ini merupakan pendedahan dua pihak bagi golongan berpendapatan rendah sekali gus memberi manafaat dengan menggabungkan tema Go Green dalam projek tersebut.
Katanya lagi, “Dalam projek ini, masyarakat digalakkan untuk mengumpul bahan kitar semula seperti plastik, tin, aluminium dan juga kertas untuk ditukar dengan komoditi asas iaitu beras mengikut sukatan yang ditetapkan.”
Bukan setakat itu, projek ini juga diharap dapat memupuk tabiat kitar semula dalam kalangan rakyat Brunei sekali gus dapat membantu keluarga yang berpendapatan rendah untuk menambah sumber rezeki mereka.
Antara lain objektif SCOT ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat pentingnya menjaga alam sekitar.
Projek pertama SCOT dilaksanakan pada tahun 2011 yang mana mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk Kampung Bolkiah ‘A’ dan ‘B’ diikuti pada tahun 2012, projek kedua dilaksanakan di Kampung Sungai Kebun seterusnya projek ketiga di Kampung Setia ‘B’.
Hasil dari projek ini, ia bukan saja dari segi alam sekitar malah melalui kitar semula juga mampu untuk menjana sedikit pendapatan dengan menjual kertas, plastik, besi dan aluminium ke syarikat tertentu.
Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin berpeluang melihat aktiviti yang dijalankan oleh SCOT dan penduduk Kampung Tamoi yang membuat pertukaran barang kitar semula dengan beras.
Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Datin Paduka Hajah Adina Haji Othman serta tetamu khas yang lain.
Source: Media Permata
Author: Salawati Haji Yahya
Published Date: 29 January 2013