Terima bantuan $1,000

Terima bantuan $1,000

April 16, 2018

Media Permata | Oleh Sim Y. H. |

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Projek yang dicadangkan, ‘The Mobile Dream Centre’ dipilih sebagai penerima anugerah bantuan bernilai $1,000 dalam Majlis Penutup Program Belia Menentang Kemiskinan (YAP) anjuran Society for Community Outreach & Training (SCOT) yang berlangsung di Dewan Bankuet, Ibu Pejabat Progresif Cellular Sdn Bhd, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah serta sijil penghargaan kepada para penaja program dan hakim dalam pembentangan projek berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad, Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Amir Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, ahli Lembaga Pengarah Progresif Cellular Sdn Bhd, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan serta pegawai dan kakitangan dari KKBS, Progresif Cellular Sdn Bhd dan SCOT.

Bengkel YAP merupakan program latihan pendekatan masyarakat yang disokong oleh Progresif Cellular Sdn Bhd dengan hasrat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan minat pemimpin muda dalam menangani isu-isu kemiskinan di Negara Brunei Darussalam.

Dengan membawa tema ‘Breaking the Cycle’, program itu memberikan penekanan kepada melatih pemimpin muda menerusi pendedahan kepada isu-isu, pemikiran kritikal dan perbincangan untuk mencari penyelesaian bagi menangani isu berkenaan menerusi pelaksanaan projek.

P8-A_16418

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan serta para jemputan khas bergambar ramai di Majlis Penutup Program YAP anjuran Society for Community Outreach & Training (SCOT) yang berlangsung di Dewan Bankuet, Ibu Pejabat Progresif Cellular Sdn Bhd, Bandar Seri Begawan.

Sehubungan dengan itu, tiga kumpulan peserta membentangkan projek masing-masing iaitu ‘Women in Power’, ‘Deliver Hope’ dan ‘The Mobile Dream Centre’ kepada panel hakim yang terdiri daripada Yang Berhormat Awang Iswandy, Ketua Pegawai Pemasaran Progresif Cellular Sdn Bhd, Devin Edwards, Naib Presiden KESAN, Awang Ahmad Marwan bin Haji Mohammad Taib dan Pengasas TedX Gadong, Awang Muhammad Fadhli bin Haji Zaini di mana projek yang dipilih oleh panel hakim diberikan anugerah bantuan bernilai $1,000 bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Dalam pembentangan itu, Projek ‘The Mobile Dream Centre’ yang mempunyai visi untuk memperkasakan keluarga-keluarga kurang berkemampuan untuk menjadi lebih berdikari daripada terus bergantung pada bantuan kebajikan melalui peningkatan kemahiran mereka menggunakan kaedah pusat latihan bergerak menjadi pilihan panel hakim dan menerima anugerah bantuan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

Terdahulu sebelum itu, Pengurus Projek YAP 2017, Awangku Zulkarnain bin Pengiran Juata dalam kata alu-aluannya percaya bahawa golongan belia mampu untuk membawa pembangunan positif ke arah perkembangan Brunei serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan menjana ekonomi yang dinamik.

Beliau turut menyatakan bahawa Program YAP boleh memainkan peranan sebagai platform ke arah pembangunan itu dengan mengasuh dan mendidik pemimpin masa hadapan yang boleh menjadi peneraju kepada keusahawanan sosial yang mampu memberikan kesan positif kepada ekonomi terutama dalam keadaan mencabar masa ini.

Manakala itu, Presiden SCOT, Pengiran Salimatul Sa’ada binti Pengiran Mohd Saleh dalam ucapannya pula mengingatkan peserta belia bahawa jika mereka menerima anugerah bantuan itu atau tidak, ia bukannya penanda sebagai kejayaan atau kegagalan mereka.

Beliau menekankan bahawa kejayaan hanya datang dengan usaha yang keras, dedikasi dan keinginan yang tinggi di mana jika mereka percaya kepada idea yang dibentangkan, mereka harus terus berusaha untuk memperbaikinya sehingga ia Berjaya.

Leave a Reply

Close Menu