MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof (kanan) semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan kongsi dan penaja Projek Green Xchange Ke-8 yang dijalankan bersempena Hari Keluarga Kebangsaan.
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mei. – Sebanyak tiga tan barangan kitar semula berjaya dikumpul pada acara Projek Green Xchange Ke-8 anjuran Society for Community Outreach and Training (SCOT).
Dari jumlah tersebut, 3,060 kilogram barang kitar semula termasuk kertas, botol-botol plastik, aluminium dan barangan besi telah ditukar dengan 465 kilogram beras.
Sehubungan itu, Majlis Penutup Green Xchange Ke-8 telah diadakan di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah ‘A’, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.
UCAPAN oleh Pengurus Projek Green Xchange 8, Dayang Amal Nissyah binti Haji Abd. Mulok.
Pengurus projek berkenaan, Dayang Amal Nissyah binti Haji Abd. Mulok berkata, sejak projek ini dilancarkan pada tahun 2011, SCOT telah berjaya mengutip sebanyak 39 tan barangan kitar semula.
Tambahnya, persatuan berkenaan juga telah menjalankan projek tersebut di beberapa buah kampung termasuk Kampung Tamoi, Kampung Setia dan Kampung Batu Marang serta telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang-orang kampung yang mana ini telah membantu persatuan berkenaan untuk terus menjalankan projek ini.
Green Xchange merupakan satu projek yang memberi manfaat kepada golongan yang berpendapatan rendah untuk menambahkan rezeki di mana penduduk kampung digalakkan untuk mengumpulkan bahan-bahan kitar semula dan menukarnya dengan komoditi asas, iaitu beras.
Seramai 150 sukarelawan belia dari pelbagai sekolah, maktab, belia-belia Kampung Bolkiah dan institusi-institusi tinggi telah membantu dalam aktiviti kempen kesedaran ini juga persiapan serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof (kanan) semasa melawat ke stesen Green Xchange di mana sebanyak tiga tan barangan kitar semula berjaya dikumpul pada acara Projek Green Xchange Ke-8 anjuran Society for Community Outreach and Training (SCOT).
Pada kali ini juga, Projek Green Xchange Ke-8 dijalankan bersempena Hari Keluarga Kebangsaan.
SCOT merupakan sebuah persatuan yang membukakan peluang kepada belia-belia untuk meluangkan masa mereka dengan melakukan tugasan khidmat masyarakat, di samping membimbing sukarelawan supaya lebih berani menceburi dalam bidang kemasyarakatan.
Juga hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Jalil serta Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Mohd. Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.
Source: Pelita Brunei
Author: Haniza Abdul Latif / Photo: Mohd. Sahrizal Haji Said
Published Date: Monday, May 16th, 2016