Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman berkata Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menyokong penuh usaha-usaha Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui ‘The Student Community Outreach Team-SCOT’ untuk bertindak bersama-sama bagi membimbing belia tempatan menjadi lebih peka terhadap isu-isu masyarakat.
Berucap semasa Pelancaran Rasmi Projek Pertukaran Hijau Kali Kedua Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura SCOT di Kampung Sungai Kebun, Yang Mulia Datin Paduka berkata penglibatan sukarelawan seperti mahasiswa UBD dalam Projek Pertukaran Hijau untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik adalah amat dihargai.
Yang Mulia Datin Paduka menambah, adalah diharapkan bahawa projek itu boleh menghasilkan belia dengan empati dan umat manusia ke arah masyarakat.
Yang Mulia Datin Paduka menjelaskan, KKBS akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada penglibatan badan-badan sukarela atau kelab-kelab dalam menangani isu-isu semasa terhadap kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
Projek tersebut jelasnya, merupakan satu inisiatif yang berasaskan belia yang membuktikan belia adalah pemangkin di negara ini yang mendorong masyarakat.
Projek itu katanya lagi, juga mencerminkan keprihatinan golongan belia terhadap isu-isu sosial dan masalah-masalah yang dihadapi oleh kumpulan ‘unprivileged’ dan berpendapatan rendah.
Di samping itu, Yang Mulia Datin Paduka melahirkan penghargaan kepada Kumpulan SCOT dan belia umumnya kerana usaha gigih mereka dalam mendukung aspirasi negara dan menunjukkan hala tuju negara ke arah masyarakat yang sedar persekitaran hijau dan ekonomi.
Warganegara Brunei Darussalam katanya, mahu melihat kemajuan negara dalam bersaing di dunia global.
Yang Mulia Datin Paduka menyatakan rasa kagum dengan sikap belia di negara ini yang bertanggungjawab sepenuhnya dan bersedia untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dalam masyarakat dalam membangunkan negara.
Yang Mulia Datin Paduka menambah, golongan belia merupakan masa depan negara dan belia yang dinamik, aktif, bertanggungjawab, bermotivasi, mempunyai keyakinan diri dan nilai-nilai moral yang tinggi, Negara Brunei Darussalam akan mempunyai masa depan yang cerah.
Source: Pelita Brunei
Author: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Published Date: 10 January 2012