TIMBALAN Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman semasa menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan. (Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas)
MUKIM MENTIRI, Ahad, 16 Mac. – Kitar semula adalah proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan yang baru atau mengubah bahan-bahan yang sepatutnya menjadi sisa kepada sumber-sumber yang bernilai.
Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman berkata, kitar semula merupakan salah satu perbuatan dalam kehidupan seharian yang mampu menyelamatkan bumi dari terus binasa oleh sampah sarap yang dibuang manusia.
“Bahan-bahan terbuang ini juga boleh diolahkan menjadi sesuatu yang bermanfaat dan tidak mustahil ianya dapat dijadikan sumber pendapatan bagi mereka yang mempunyai bakat dalam seni kreatif,” jelas Yang Mulia Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada Majlis Pelancaran Projek ‘Green Xchange’ Kali Ke-6 yang berlangsung di Masjid Kampung Batu Marang, di sini.
Tambah beliau, ada juga yang menghasilkan pelbagai jenis beg dan selipar daripada barang kitar semula seperti plastik, kotak minuman dan bunga teratai, yang mana barang-barang tersebut telah berjaya dipasarkan di tempat-tempat pelancongan dan menjadi sumber pendapatan utama kepada penduduk-penduduk kampung.
Justeru itu Yang Mulia Datin Paduka berharap agar projek tersebut akan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang hidup dalam keadaan aman, harmoni dan sihat sejahtera.
Di samping itu, beliau juga menyentuh mengenai Persatuan Komuniti Capaian dan Latihan (Society for Community Outreach and Training – SCOT) Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang telah berjaya mengutip lebih daripada 26,000 kilogram bahan kitar semula seperti tin-tin kosong, besi, kertas, buku-buku lama dan botol-botol plastik serta menukarkannya dengan lebih daripada 7,000 kilogram beras sejak bermulanya projek Green Xchange ini pada 4 tahun yang lalu.
Untuk itu ujarnya, jumlah pengutipan berkenaan sudah setentunya bukanlah kerja yang mudah lebih-lebih lagi untuk menguruskan pertukarannya dengan cara sistematik dan koordinasi yang baik.
Melalui program ini tambahnya, para ahli SCOT UBD dan bagi mereka yang terlibat dengan program ini sedikit sebanyak telah berjaya dalam memperbaiki dan meningkatkan kualiti persekitaran negara ini.
“Melalui program ini juga, para ahli SCOT UBD yang terdiri daripada belia dan beliawanis di negara ini telah menunjukkan bahawa setiap insan dapat menyumbang dan mengimpak masyarakat tidak kira muda atau tua,” katanya lagi.
Yang Mulia Datin Paduka seterusnya menjelaskan melalui program berkenaan, Persatuan SCOT UBD telah dapat mengambil langkah pertama untuk mengubah sikap dan minda masyarakat mengenai pemeliharaan alam sekitar kita.
Ke arah ini, beliau juga melahirkan penghargaan kepada SCOT UBD dan semua pihak yang terlibat dalam mengungkayahkan inisiatif yang berkebajikan ini.
“Saya menyeru kapada para belia dan masyarakat apalah kiranya projek ini akan dapat diteruskan lagi di masa akan datang dan diperluaskan lagi ke daerah-daerah lain agar keberhasilan projek ini akan dapat dikongsi dan dirasakan oleh masyarakat di daerah-daerah lain. Saya penuh berharap agar kejayaan projek ini akan dapat menjadi pencetus semangat kepada SCOT dan belia dan beliawanis yang lain untuk terus menyumbang dan seterusnya membawa perubahan yang positif kepada masyarakat di negara ini,” jelasnya.
Di samping itu, beliau seterusnya berharap agar segala amalan yang berkebajikan ini akan mendapat ganjaran yang baik daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua.
Source: Pelita Brunei
Author: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Published Date: Monday, 17 March 2014 14:17
