Oleh : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 November. – Pengarah Pendidikan SCOT dan Lembaga Pengarah SCOT, Dayang Siti Noraspadiyah binti Haji Md. Sah terpilih sebagai penerima Anugerah Kehormat The Society for Community Outreach & Training (SCOT) pada tahun ini.
Ini merupakan tahun keempat SCOT menyampaikan Anugerah Kehormat tersebut kepada seorang ahlinya yang telah mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek bagi beberapa kriteria.
Ciri-ciri pencapaian itu adalah sangat wajar untuk diteladani serta bermanfaat bukan sahaja kepada ahli dan persatuan, malah juga bagi kemajuan negara ke arah melahirkan lebih banyak pemimpin belia yang akan mempunyai sifat amanah, gigih, semangat setia kawan serta boleh menjadi ‘role model’ kepada SCOT yang lain.
Anugerah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada Mesyuarat Agung Tahunan SCOT 2017 dan Penyampaian Anugerah Kehormat SCOT 2017 di Bilik Mesyuarat, Pusat Belia di ibu negara.
Turut hadir Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Mohd. Juanda bin Haji Abd. Rashid dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.
Anugerah tersebut khas diberikan kepada ahli berwibawa yang terpilih oleh ahli jawatankuasa SCOT sebagai penghargaan di atas jasa-jasa dan komitmen belia kepada persatuan dan masyarakat awam secara keseluruhannya sepanjang tahun 2016.
Yang Berhormat Menteri turut menyampaikan Certificate of Aspiration 2017 kepada Ahli-ahli SCOT yang mempamerkan kemahiran dalam kepimpinan dari segi idea dan inovasi dalam mengungkayahkan projek-projek baharu bagi persatuan ini.
Enam penerima itu terdiri daripada Pencipta Logo SCOT, Dayang Hajah Nor Hakimah binti Haji Mohd. Nor; Presiden SCOT Sesi 2016 / 2017, Pengiran Salimatul Sa’ada binti Pengiran Saleh; Pengurus Projek SCOT, Awang Muhammad Nur Isman bin Abu Bakar; Pengurus Projek Green Xchange Ke-9 SCOT, Dayangku Nurul Khairunnisa binti Pengiran Haji Roslin; Pengurus Projek bagi Youth Against Poverty, Awang Zulkarnain bin Pengiran Juata dan Bendahari SCOT, Dayang Nurul Izzati Khairunisa binti Embran.
Terdahulu, Pengerusi SCOT, Awang Mohamad Anwar bin Awang Mohammad dalam ucapan alu-aluannya berkata, SCOT Education masih menerapkan misinya untuk memperbaiki tahap pemahaman bahasa Inggeris khususnya bagi anak-anak dari golongan yang kurang berkemampuan.
Tahun ini jelasnya, SCOT Education mengubah strateginya, yang mana telah memanjangkan tahap program daripada tiga bulan menjadi tujuh bulan untuk memastikan keberkesanan dalam memantau perkembangan kemajuan peserta-peserta dalam projek ini.
”Baru-baru ini, Program Youth Against Poverty telah pun berjaya dilaksanakan yang berkonsepkan bengkel dengan tema ‘Breaking the Cycle’. Program yang berusia dua tahun ini mengutamakan ahli-ahli pemimpin masyarakat untuk sama-sama berkongsi pengetahuan dalam usaha mereka untuk mencapai pada kemajuan negara baik dari segi kesukarelawanan, keusahawanan dan sifat pemedulian,” ujarnya lagi.
Dari segi projek yang diungkayahkan di luar negara, beliau menjelaskan, persatuan ini sekali lagi telah berjaya mengungkayahkan beberapa projek di Kemboja, antaranya membaik pulih dan membina semula sebuah sekolah yang usang, membuat perigi, menyumbangkan basikal untuk anak-anak yatim dan meneruskan misi untuk mengajar bahasa Inggeris kepada kanak-kanak yang kurang berkemampuan menerusi SCOT Education Cambodia.
Beliau berasa sangat bangga dengan pencapaian belia-belia Brunei seperti ini yang telah pun berjaya menunjukkan daya kreativiti mereka dalam menginnovasikan projek-projek yang dapat menolong membangun kemajuan negara.
Majlis diteruskan dengan pembentangan pencapaian SCOT Tahun 2017 yang disampaikan oleh Presiden SCOT, Pengiran Salimatul Sa’ada, antara lain menyentuh mengenai objektif utama dan skop projek fasa pertama dan kedua SCOT Education 2017 selain cabaran yang mereka hadapi sepanjang berlangsungnya projek tersebut.