Tingkat sumber rezeki melalui bahan kitar semula

4

TIMBALAN Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman semasa hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Projek GX Ke-6.(Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas)

MUKIM MENTIRI, Ahad, 16 Mac. – Projek Pertukaran Hijau (Green Xchange-GX) yang diselenggarakan oleh Persatuan Komuniti Capaian dan Latihan (Society for Community Outreach and Training – SCOT) Universiti Brunei Darussalam (UBD) dihasratkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya di negara ini akan kepentingan kebersihan dan kehijauan negara yang kita cintai.

Sehubungan itu, pelancaran Projek GX Ke-6 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman, bertempat di Masjid Kampung Batu Marang, Mukim Mentiri, di sini, pagi tadi.

Sejurus pelancaran, Yang Mulia Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku tetamu kerhormat juga berkunjung ke salah sebuah rumah di Kampung Batu Marang dan menyaksikan sendiri bahan-bahan yang dikumpulkan oleh belia-belia projek tersebut untuk dikitar semula.

1

TETAMU Kehormat semasa meninjau ke rumah yang ingin menukar barang terpakai untuk dikitar semula dan ditukar dengan seguni beras.
(Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas)

Projek GX tersebut diilhamkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Republik Singapura iaitu Yayasan Avelife.

Setelah mengambil kira akan manfaat dan kebaikan GX ini, SCOT UBD dan yayasan berkenaan telah bergabung dan berusaha sama dalam menjayakan projek yang berkonsepkan kehijauan ini.

GX merupakan projek yang memberi manfaat kepada golongan yang berpendapatan rendah untuk menambahkan sumber rezeki, yang mana penduduk kampung digalakkan untuk mengumpulkan bahan-bahan kitar semula dan menukarkannya dengan komoditi asas iaitu beras.

3

TETAMU Kehormat semasa menerima cenderahati daripada wakil SCOT UBD.
(Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas)

Dengan adanya projek berkenaan, ianya diharapkan akan dapat memberi kesedaran kepada seluruh penduduk bahawa barangan kitar semula itu mempunyai nilai jika ianya digunakan tepat pada waktunya sekali gus menanamkan sikap menjaga kebersihan alam sekitar kepada generasi akan datang.

Prosedur pertukaran GX adalah dikira berdasarkan berapa berat barang yang dikitar semula itu mengikut kiraan yang ditetapkan, yang mana semakin berat timbangan barang kitaran tersebut, semakin banyak beras yang akan diperolehi.

Pada masa yang sama, Projek GX kali ini turut dijayakan oleh lebih 100 sukarelawan terdiri daripada belia-belia yang diberikan peluang oleh SCOT UBD untuk melakukan tugasan khidmat masyarakat, selain membimbing mereka supaya lebih berani menceburkan diri dalam bidang kemasyarakatan.

 


Source: Pelita Brunei
Author: Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Published Date: Monday, 17 March 2014 14:18

Leave a Reply

Close Menu